Ramai kalangan kita ingin menyimpan dan mengetahui pentingnya mempunyai simpanan. Namun ini tidak dapat dilaksanakan dengan alasan tidak mempunyai cukup wang ataupun kesuntukan masa. Itu hanyalah alasan yang lemah kerana kuncinya ada pada anda. Ia bertitik tolak pada diri anda, sama ada mahu atau tidak mahu.

Apakah komitmen anda untuk diri anda pada masa depan? Adakah anda ingin melihat diri anda berada dalam kesempitan ataupun kesenangan? Yang mana lebih baik, mempunyai wang simpanan sendiri ataupun mempunyai kad kredit? Ada yang tidak menyimpan kerana mereka mempunyai kad kredit untuk dijadikan sandaran apabila berlaku kecemasan. Kad kredit hanyalah satu alat bagi memudahkan kehidupan namun perlu diingat wang yang anda gunakan itu bukan wang anda. Ia sekadar pinjaman dan perlu dipulangkan dengan kadar faedahnya sekali!

Pernahkah kita terfikir menerusi wang simpanan, kita boleh membentuk tabung warisan yang boleh dinikmati dari generasi ke generasi? Tidak perlu menunggu sehingga kaya-raya baru kita dapat tinggalkan harta benda untuk keluarga. Memadai meninggalkan mereka dengan tabiat atau disiplin menabung yang ditanamkan dalam setiap ahli keluarga, yang mana tabung ini berfungsi sebagai tabung kebebasan kewangan.

Inginkah anda melihat, tabung yang anda mulakan dengan hanya menyimpan RM100 sebulan itu kemudian berkembang menjadi beratus ribu dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang? Ini tidak mustahil berlaku kerana jika tabiat menabung itu sudah sebati dalam diri, amalan ini akan berterusan dan sukar ditinggalkan. Kemudian tabiat yang baik ini diterapkan pula pada anak cucu. Anda akan dapat melihat bagaimana sebuah dana keluarga terbentuk yang manfaatnya boleh dinikmati semua orang.

Related Posts with Thumbnails
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Rahsia Orang Berjaya!